Si Anak Yang Sentiasa Berdosa

"Redha Allah , pada redha orang tua. Murka Allah, pada murka orang tua" - Hadis Riwayat Al-Baihaqi.

Betapa agungnya kedudukan ibu bapa. Aku tahu. Derhaka seorang anak pada ibu bapanya adalah dosa besar. Tapi pernah juga bermain di fikiranku, bagaimana jika ibu bapa pula yang menyakiti hati anak? Berdosa jugakah? Tidak dinafikan aku memang jahil dalam bab keagamaan dan hukum hakam agama. Tapi aku sedar di mana tarafku sebagai anak. Bukannya aku tidak belajar dahulu. Setiap petang dihantar bapa ke sekolah agama. Biasalah, manusia tidak lari dari penyakit lupa. Aku juga ada degilnya. Bohonglah jika dikatakan tidak pernah dimarahi orang tua. Tidak berani untuk melawan, aku hanya membatukan diri dan menangis. Tak terkira sebatan yang sudah menghinggap di tubuhku. Ya ibu bapa aku memang garang. Tapi aku bersyukur kerana sikap garang merekalah yang menjadikan aku manusia. Amarah orang tua adakalanya mungkin terdengar 'kasar'. Pada aku, telan sahajalah. Tidak seharusnya aku mengambil hati dengan apa yang dibicarakan. Melahirkan, menyusukan, menukar lampin, menjaga sewaktu malam, merawat ketika sakit. Tidak pernah memperlihat penat membesarkan anak manusia ini. Sentiasa aku semat dalam ingatan. Jangan terlalu mempersoalkan hati sendiri. Tiadalah bandingnya jasa pengorbanan dan kasih sayang yang mereka curahkan kepada si anak. Jangan merungut dengan apa yang diminta mereka. Hormatilah. Hargailah masa yang ada. Sayangilah mereka sepenuh hati. Terbitkan kegembiraan di wajah kedua orang tua. Titiplah nama mereka dalam setiap nafas doa. Keredhaan akan selamanya menjadi milik kita.
Kata-kata yang sentiasa aku semadikan sebagai pesanan diri.

Comments

Popular Posts